Sewajarnya...

TAHUN 2022 - ULANG TAHUN KE-64 SMK SULTAN OMAR... TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG KE LAMAN SESAWANG SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU ::::::::: "SEPAKAT MENJULANG DESSO CEMERLANG" :::::: KAMI BERBANGGA DAPAT BELAJAR DAN BERKHIDMAT DI SMKSO :::::

Tarikh Kemas Kini

TARIKH KEMAS KINI: 16 April 2023 [11:40 pagi] +++++ MULAI TAHUN 2021, SMK SULTAN OMAR MELAKSANAKAN PROGRAM TRANSFORMASI SEKOLAH 2025 (TS25) DAN PERINTIS PROGRAM SCIENCE, TECHNOLOGY, ENGINEERING, AND MATHEMATIC (STEM) DAERAH DUNGUN

Ahad, 16 April 2023

MERAIKAN PERSARAAN TEACHER HAJJAH RAFEAH

Kelab Guru dan Kakitangan dan Pengurusan DESSO mengadakan majlis ringkas untuk meraikan persaraan Puan Hajah Rafeah, Guru Bahasa Inggeris di tapak perhimpunan SMK Sultan Omar pada pagi ini. Dalam majlis bertemakan warna ungu, teacher Rafeah kelihatan tenang bersahaja diiringi pihak pengurusan, staf dan guru-guru SMK Sultan Omar ke tapak perhimpunan. 















Dalam ucapannya, Puan Hajah Rafeah mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas kerjasama pengurusan sekolah dan rakan-rakan guru yang memastikan beliau dapat menjalankan tugas dengan lancar sepanjang berkhidmat di SMK Sultan Omar. 






Isnin, 13 Februari 2023

PEPERIKSAAN STPM SEMESTER 1 2023/ ULANGAN SEMESTER 1 2022

Pada hari ini, 13 Februari 2023 telah bermulanya peperiksaan STPM bagi murid semester 1 tahun 2023 dan ulangan kertas BM semester 1 bagi pelajar semester 3. Peperiksaan ini akan berlangsung sehingga hari Khamis, 16 Februari 2023. 


Titipan kata-kata semangat yang terakhir dari Puan Pengetua sebelum pelajar memulakan kertas STPM yang pertama iaitu subjek Bahasa Melayu




Pelajar tekun mengulang kaji dan membuat perbincangan kumpulan untuk saat-saat terakhir sambil diawasi oleh guru yang bertugas iaitu Cikgu Asniyati dan Cikgu Fatimah Najihah


Semoga kejayaan cemerlang akan menjadi  milik pelajar Tingkatan 6 SMK Sultan Omar. InsyaAllah.

Ahad, 4 Disember 2022

CIKGU SUHAIMI BERSARA

CIKGU Suhaimi bin Mohd Salleh, Guru Akademik Tingkatan Enam mata pelajaran Bahasa Melayu diraikan hari ini sempena dengan persaraan wajibnya dalam perkhidmatan kerajaan mulai esok, 5 Disember 2022.



Beliau mula berkhidmat di SMKSO pada 1 April 1998 setelah menamatkan pengajian di Universiti Malaya dalam bidang Bahasa Melayu dengan pencapaian Kelas Pertama.

Di SMKSO, beliau bertugas sebagai jurufoto peristiwa sekolah sejak 1999 hingga 2020, di samping menerbitkan majalah sekolah, Pelita, sebanyak 10 edisi yang berakhir pada tahun 2019, dan kemudiannya menerbitkan buletin Sekolah, Warta DESSO sebanyak tujuh edisi. Selain itu, beliau merupakan pengendali sesawang sekolah yang beroperasi melalui pelayan percuma, Blogger semenjak 2015.

Semasa di SMKSO, beliau menulis lirik lagu sekolah, "SMKSO Cemerlang" yang dikumandangkan pada setiap kali perhimpunan mingguan mulai Januari 2004. Beliau juga menulis keterangan tentang logo sekolah.

Beliau juga merupakan guru Angkatan Kerja Rajin Amalan Mulia (AKRAM) Negeri Terengganu bagi mata pelajaran Bahasa Melayu STPM, selain merupakan pemeriksa kertas STPM Bahasa Melayu Semester 2, dan Ketua Pengawas STPM dan MUET lantikan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

Beliau telah berkhidmat di bawah 11 orang pengetua yang bermula dengan Tuan Haji Abdullah bin Ali (1998) dan berakhir dengan Puan Hajah Rohana binti Zahari (2022).

Pada hari terakhirnya, beliau diraikan dalam perhimpunan mingguan, diikuti keraian oleh Guru Akademik Tingkatan Enam dan pelajar Tingkatan 6.

Isnin, 28 November 2022

JAMUAN AKHIR TAHUN DESTAF

KELAB kakitangan DESSO, DESTAF mengadakan Jamuan Akhir Tahun 2022 di Dewan Bidara, Hotel UiTM Dungun petang ini.

Dalam majlis yang turut dihadiri oleh Puan Hajah Rohana binti Zahari, Pengetua SMKSO, DESTAF memberikan penghargaan dengan meraikan guru-guru yang bertukar sepanjang tahun ini dan seorang guru yang akan bersara pada bulan Disember nanti.



Selain jamuan, majlis diserikan dengan penyampaian hadiah daripada beberapa unit di SMKSO dan hadiah persendirian daripada guru kepada guru yang bertukar dan akan bersara. Antara guru yang bertukar yang hadir ialah Tuan Haji Rusli bin Mohd Nor, bekas Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid yang bertukar ke SMK Padang Pulut dengan menyandang jawatan Guru Penolong Kanan Pentadbiran.

Guru yang akan bersara, Encik Suhaimi bin Mohd Salleh, telah bertugas di SMKSO semenjak 1 April 1998.

Selain hadiah keraian, majlis juga mengadakan hadiah cabutan bertuah, dan memilih raja dan ratu dari kalangan guru dan anggota kumpulan pelaksana yang memakai busana yang mematuhi tema majlis itu, tema "Retro". 


Dalam majlis itu juga, Puan Hajah Rohana mengumumkan barisan kepimpinan baharu Kelab DESTAF yang akan berfungsi pada sesi 2023/2025 nanti. Pengerusi baharu DESTAF ialah Encik Muhamad Handi bin Jusoh. 

Khamis, 3 November 2022

PENGETUA KE-27 MELAPOR DIRI

PENGETUA yang ditunggu-tunggu seluruh warga SMKSO melapor diri dan disambut oleh barisan pengurusan pagi ini.


Puan Hajah Rohana binti Zahari, yang bertukar dari Sarawak, diiringi oleh Encik Shamsul Bahri bin Shafie, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Dungun Sektor Pengurusan Sekolah.  

Beliau menjadi Pengetua SMKSO ke-27 semenjak penubuhan sekolah ini pada tahun 1959 yang pada masa itu dikenali sebagai Dungun English Secondary School (DESS). 

Kehadiran beliau juga mencatatkan rekod sebagai pengetua wanita yang ketiga, selepas Puan Hajah Ainun Jamilah binti Mohd (1992) dan Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman (2016-2018).

Beliau yang sebelum ini merupakan Pengetua di SMK Suai, Sarawak, menggantikan Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, yang bersara wajib pada 8 Ogos 2022 lalu. Tuan Haji Che Rashid turut hadir menyambut Puan Hajah Rohana bersama dengan Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua PIBG.

Ahad, 16 Oktober 2022

PELAJAR DAN GURU TERIMA ANUGERAH PRESTASI CEMERLANG MPP2 SPM

UNIT Akademik SMKSO menyampaikan Anugerah Prestasi Cemerlang MPP2 SPM semasa Perhimpunan Mingguan pagi ini.








Anugerah disampaikan kepada pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam Ujian MPP2 dari aspek peningkatan gred purata individu, pencapaian terbaik dalam kelas, dan peningkatan gred purata mata pelajaran.

Pelajar yang cemerlang menerima sijil penghargaan kecemerlangan dan cenderahati berupa wang tunai.

Tiga mata pelajaran mencatatkan peningkatan gred purata, iaitu Prinsip Perakaunan, Bahasa Melayu, dan Pendidikan Moral.

Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Puan Hajah Wan Nooriman binti Wan Jaafar, Guru Penolong Kanan Pentadbiran. 

Khamis, 6 Oktober 2022

KARNIVAL STEM BERLANGSUNG LIMA HARI

KELAB STEM dengan kerjasama PIBG dan beberapa panitia mata pelajaran menganjurkan Karnival STEM bermula 2 Oktober hingga 6 Oktober 2022. 

Dengan tema "Sains dan Matematik Melestarikan Kehidupan, Teknologi Merealisasikan Kejuruteraan", karnival mendapat sentuhan aktiviti daripada Panitia Asas Sains Komputer, Panitia Sains, Panita Matematik, Panitia Reka Bentuk Teknologi, dan Panitia Automotif.







Aktiviti yang dijalankan termasuklah pelbagai pertandingan, antaranya pertandingan belon gergasi, roket air, payung terjun, pintar sudoku dan tarsia, cabaran 3D, memburu harta karun, dan sebagainya.

Kebanyakan aktiviti dilaksanakan di Dewan Warisan, manakala beberapa aktiviti dijalankan di padang SMKSO.